Monday, May 14, 2012

memupuk kreativiti kanak-kanak



KREATIVITI merupakan satu subjek yang subjektif untuk dibincangkan kerana ia merupakan satu kebolehan semula jadi yang dikurniakan oleh Allah SWT. Bagaimanapun kreativiti adalah antara kualiti terpenting yang boleh dibentuk dan dipupuk dalam diri terutama sekali kanak-kanak. Kreativiti juga adalah ciri-ciri yang menunjukkan kebolehan kanak-kanak menghasilkan kerja yang 'asli'. Untuk itu ibu bapa perlu menyediakan satu persekitaran yang boleh membantu anak-anak mengembangkan daya kreativiti dan ruang untuk meluahkan perasaan.

Salah satu cara yang dapat membantu mengembangkan kreativiti kanak-kanak ialah dengan melukis.
Lazimnya, setiap lukisan yang dihasilkan pastinya merupakan imaginasi ataupun idea asal daripada pemikiran kanak-kanak itu sendiri. Secara tidak langsung ia mampu membantu perkembangan minda kanak-kanak sekali gus menyemai budaya berfikir secara kreatif dan inovatif di kalangan mereka. Berkunjung ke butik Lukisan dan Kraf Kanak-Kanak Da Vinci di Ikano Power Centre, Mutiara Damansara baru-baru ini, ternyata memberi satu pengalaman baru kerana di sini kanak-kanak mempunyai kreativiti masing-masing apabila meluahkan apa yang mereka inginkan melalui lukisan dan mewarna.

Apa yang menjadikan Da Vinci cukup unik dan menarik ialah ia turut mempamerkan hasil kerja tangan kanak-kanak yang berusia antara empat sehingga 15 tahun yang mengikuti kelas seni dan kraf di situ.
Menurut salah seorang tenaga pengajarnya, Ngau Lee San, 32, segala hasil kerja yang dipamerkan bukan untuk dijual dan berdasarkan hasil kerja yang dipamerkan, ternyata kanak-kanak tersebut cukup seronok bermain dengan warna.
'
'Melalui lukisan dan warna kita dapat mengesan bakat dan kreativiti yang ada dalam diri seseorang kanak-kanak itu. ''Lagipun, kreativiti merupakan bakat semula jadi yang dianugerahkan oleh tuhan bagaimanapun ia boleh dicungkil dan diasah untuk menjadi seorang yang kreatif.

''Dan kita perlu tahu bahawa dari imaginasi lahirnya kreativiti dan cara mereka meluahkan perasaan melalui lukisan atau kraf cukup menarik sekali malah idea mereka tulen dan sentuhan mereka terutamanya pada lukisan, amat memikat,'' ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Di Da Vinci, kanak-kanak bukan sahaja diajar bagaimana untuk melukis di atas kertas dan mewarna, malah mereka turut didedahkan cara untuk melukis di atas kaca, batu serta menghasilkan kraf tangan.
Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana warna-warna yang digunakan tidak mengandungi bahan toksik yang boleh mendatangkan bahaya atau kesan sampingan kepada mereka.
Selain itu, melalui aktiviti yang berasaskan kemahiran ini membuatkan kanak-kanak akan lebih fokus dan juga meningkatkan kemahiran mendengar.

Ternyata apa yang dihasilkan oleh kanak-kanak di Da Vinci cukup hebat kerana imaginasi dan kebolehan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak ini mampu menghasilkan sebuah lukisan atau kraf yang cantik dan menarik.
Justeru, alasan tidak tahu melukis tidak harus dijadikan 'tembok penghalang' bagi sesiapa sahaja yang baru hendak mencuba bidang tersebut.

No comments: